London: Andre Villas-Boas perlukan lebih masa untuk membentuk pasukan Tottenham Hotspur yang lebih mantap, kata Harry Redknapp, sehari selepas penggantinya itu dipecat selaku pengurus.
Tiga kekalahan memalukan dalam tempoh dua bulan dan terbaru 5-0 di tangan Liverpool di White Hart Lane, mengakibatkan Villas-Boas dipecat ketika pasukan berbelanja besar itu kini tersadai di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.
Spurs turut dibelasah 6-0 di Manchester City tiga minggu lalu dan berdepan kekalahan memalukan 3-0 di tangan West Ham United, Oktober lalu tetapi Redknapp berasa terlalu awal untuk pengurusan tertinggi kelab memecat pengurus kelahiran Portugal itu.
“Saya rasa pengurusan kelab terlalu cepat melatah,” katanya. “Anda tewas beberapa perlawanan dan ia mengakibatkan anda susah. Ia tidak sepatutnya begitu.
“Anda sepatutnya memberikan lebih banyak masa dan membiarkan pengurus melaksanakan tugas diamanahkan,” kata Redknapp yang kini membimbing Queens Park Rangers.
“Mereka menamatkan tugasnya terlalu awal. Anda perlu berikan dia masa dan lihat apa yang mampu dilakukannya,” katanya sejurus selepas pengumuman mengenai pemecatan Villas-Boas dibuat.
Pengendali berusia 36 tahun itu dilihat hilang arah selepas pasukannya terpaksa bermain 10 orang apabila Paulinho dibuang padang sekali gus menceriakan Luis Suarez.
Kelab London itu dikatakan tidak mampu melawan ketika ditumbangkan Liverpool tetapi Villas-Boas juga gagal mengambil hati media British.
Pengendali yang dikenali sebagai ‘AVB’ itu pernah dipecat Chelsea pada 2012 walaupun ketika itu beliau dilihat berjaya di Porto tetapi kegagalan utamanya ialah tidak mempunyai hubungan baik dengan media seperti yang dilakukan Redknapp.
Tekanan terhadap Villas-Boas bermula selepas pasukannya seri 2-2 ketika menentang Manchester United awal bulan ini.
Hubungan dingin antara pengurus Spurs itu dengan media bertambah buruk apabila beliau membuat kenyataan: “Anda hanya menyerang orang lain tetapi tidak berani bercakap secara berdepan. Anda menyerang dengan tulisan anda.
“Anda mempersoal integriti dan kebolehan orang lain tanpa mengenali individu itu sendiri.” Villas-Boas mengambil alih tugas di Spurs pada Julai 2012 dan ketika itu, beliau membawa kelab berkenaan mencatat mata tertinggi dalam sejarah kelab di Liga Perdana Inggeris.
Begitupun, beliau mula dikecam peminat selepas membenarkan pemain sayap Wales, Gareth Bale berpindah ke Real Madrid untuk membawa masuk 12 pemain baru. - Reuters
Hmetro.com.my