London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho sekali lagi menyuarakan masalah kekuatan jentera serangannya dan mendakwa tidak mengharapkan semua penyerang Blues menjaringkan gol dalam jumlah besar.
Setakat ini, Fernando Torres, Samuel Eto’o dan Demba Ba hanya menyumbang 13 gol dalam semua kejohanan tetapi Mourinho tegas menyatakan tidak akan menambah kekuatan di bahagian itu ketika tempoh perpindahan pemain, bulan depan.
Beliau hanya mahu ketiga-tiga penyerang itu menajamkan sentuhan sekali gus menghasilkan lebih banyak gol tetapi selepas perlawanan Chelsea menentang Crystal Palace, beliau berkata: “Saya tidak mengharapkan setiap penyerang menjaringkan 25 atau 30 gol musim ini kerana penyerang kami bukanlah daripada jenis yang boleh berbuat demikian tetapi apa yang mereka lakukan setakat ini terlalu sedikit.
“Mereka perlu bangkit, saya yakin mereka akan berbuat demikian untuk menambah jumlah sedia ada.” Mengulas persembahan Torres, Mourinho menambah pemain Sepanyol itu perlu membuktikan kebolehannya dan beraksi selaku penggempur kerana dia tidak mempunyai kebolehan untuk bermain selaku perancang atau penggerak jaringan.
“Setiap kali dia memegang bola, kita tahu dia bukanlah seorang pemain yang mempunyai skil hebat. Kita semua sedar hakikat itu,” kata Mourinho.
“Dia sering kehilangan bola jika kedudukannya jauh daripada gol lawan. Insiden itu membuka ruang buat pemain lawan melancarkan serangan balas. Dia bukanlah seorang pemain yang boleh menyimpan bola dengan baik.” - Agensi
Hmetro.com.my