Milan: Francesco Totti kembali beraksi selepas diketepikan dua bulan akibat kecederaan tetapi kehadirannya gagal menghalang Roma diikat 2-2 oleh AC Milan yang perlu berterima kasih kepada Sulley Muntari kerana menjaringkan gol pada lewat perlawanan di San Siro, kelmarin.
Roma bertandang ke Milan dalam usaha merapatkan jurang dengan pendahulu, Juventus selepas juara bertahan Serie A itu berada di depan dengan kelebihan enam mata hasil kemenangan kelapan berturut-turut, Ahad lalu.
Walaupun menguasai permainan di setiap posisi, Roma terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri kelima sepanjang enam perlawanan untuk kekal di tangga kedua, lima mata di belakang Juve.
“Saya gembira dengan prestasi pemain tetapi tidak gembira dengan keputusan perlawanan kerana kami di depan dua kali,” kata jurulatih Roma Rudi Garcia.
“Biasanya, jika anda mempunyai banyak peluang di depan gol, anda menang. Kami sepatutnya menjaringkan gol ketiga tetapi satu mata di Milan bukanlah keputusan yang buruk.” Biarpun Milan dilihat bergelut di liga tempatan, mereka satu-satunya wakil Itali dalam Liga Juara-Juara selepas Juventus dan Napoli tersingkir minggu lalu.
Jurulatih Milan Massimiliano Allegri yang mengelak soalan mengenai lawan pusingan kedua Liga Juara-Juara, Atletico Madrid berkata: “Kami bermain lebih baik di babak kedua dan banyak menyerang walaupun ada kalanya memberi ruang kepada lawan melancarkan serangan balas ke kubu kami.” Roma memulakan aksi dengan baik dan membuka jaringan ketika permainan memasuki 15 minit menerusi Mattia Destro tetapi Cristian Zapata menyamakan kedudukan pada minit ke-30.
Pelawat kembali di depan menerusi jaringan Kevin Strootman pada minit ke-51 sebelum Milan menyamakan kedudukan melalui Muntari hasil hantaran Mario Balotelli pada minit ke-77. - AFP
Hmetro.com.my