Kota Bharu: Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.net) menggesa Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mencari pemimpin setaraf Tan Sri Annuar Musa yang meletak jawatan Presiden KAFA menerusi kenyataan media di Facebooknya semalam.
Timbalan Presiden Kelate.net, Mahizi Mahmood berkata, pengunduran Annuar satu kehilangan besar bagi sukan bola sepak Kelantan namun menyifatkan tindakan dilakukan penggerak nombor satu The Red Warriors (TRW) itu mungkin kerana sudah terlalu bosan dengan sikap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Jika Tan Sri (Annuar) sudah tekad berundur kita harap ia tidak menjejaskan pasukan.
“Kita juga harap pengurusan KAFA dapat mencari pemimpin setaraf atau lebih baik daripada Tan Sri.
Bagi saya mungkin Tan Sri sudah bosan dengan sikap FAM yang selalu menghukum individu yang memberi kenyataan atau kritikan untuk membangunkan pembangunan bola sepak di negara ini,” katanya.