
Annuar Musa
KOTA BHARU – Biarpun mengambil jalan tengah dalam isu pemain pertahanan, Nazri Ahmad dengan menyerahkannya kepada Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun pada masa yang sama, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mendakwa, beberapa pemainnya juga ‘dicuri’ pasukan lain.
Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan, wujudnya rundingan pintu belakang untuk memancing pemain Red Warriors walaupun mereka sudah sah menjadi milik pasukan berkenaan.
Beliau berkata, masih wujud usaha untuk memancing barisan pemainnya walaupun ia telah diumumkan oleh beliau sebelum ini.
“Dalam 24 pemain itu pun ada lagi pasukan lain hendak curi. Kita sudah pinang… kita sudah ‘nikah gantung’ pemain dan menunggu hari pendaftaran tetapi masih ada lagi yang hendak runding dan nak ambil pemain Kelantan.
“Saya fikir sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperketatkan etika dan peraturan.
“Adalah tidak beretika apabila pemain sudah diumum sebagai barisan dalam satu pasukan untuk sesebuah negeri kita masih runding lagi dibelakang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Pada masa yang sama Annuar berkata, KAFA menyerahkan kepada jawatankuasa tersebut untuk menentukan status Nazri yang menjadi perebutan di antara Kelantan dan Selangor.
Beliau bagaimanapun menegaskan, pemain tersebut sah menjadi milik Kelantan selepas menandatangani kontrak bersama Red Warriors dan bersetuju dengan syarat-syarat yang tertera dalam kandungan perjanjian.
“Dari segi kelab, kita memang jelas, apabila Nazri datang berunding dan soalan pertama yang saya tanya adalah adakah dia mempunyai kontrak dengan pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT).
“Dia kata Johor DT sudah memberi pelepasan dan saya tanya adakah dia ada kontrak dengan pasukan lain. Nazri beritahu dia tak ada kontrak.
“Bila dia cakap tidak ada kontrak, jadi kita runding dan mencapai satu persetujuan. Keesokan harinya kita menandatangani perjanjian mengikut peraturan yang ditetapkan FAM,” katanya.
Katanya, Nazri ada memberitahunya yang dia telah berunding dengan Selangor sebelum ini dan diberikan sekeping surat untuk ditandatangani.
Ujarnya, pemain itu menanggap surat tersebut hanya sekeping memorandum persefahaman (MoU) kerana tiada butiran mengenai soal gaji.
“FAM menetapkan setiap kontrak apabila ditandatangani oleh pemain, mereka mestilah diberi hak untuk melihat daripada muka surat satu sampai sampai terakhir dan itu wajib serta menandatangani setiap muka surat bagi mengesahkan mereka memahami isi kontrak.
“Setelah pemain tersebut melihat kontrak itu mestilah lengkap dengan segala butir yang terperinci, namun disebabkan timbul pertikaian kita serahkan kepada Jawatankuasa Status Pemain untuk menentukannya,” katanya.
www.utusan.com.my
#kelate.net