Wednesday, 18 December 2013

Penyokong Myanmar Bertindak Ganas

Yangon: Polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan sekumpulan penyokong tegar Myanmar selepas mereka bertindak ganas dengan merosakkan tempat duduk stadium, membakar baju serta membaling batu ke arah pegawai perlawanan apabila tuan rumah tersingkir daripada saingan bola sepak Sukan SEA.
Penyokong Myanmar yang bersesak ke stadium bagaikan tidak dapat menerima kekalahan 1-0 kepada Indonesia apa lagi selepas perubahan besar dilakukan untuk memantapkan skuad negara itu menyebabkan 50,000 penyokong tuan rumah di Stadium Yangon, kecewa. 
Kebakaran dalam Stadium Yangon sebelum tamat perlawanan menjadi bertambah buruk selepas aksi ditamatkan apabila peminat menyerbu ke arah pondok polis dan papan iklan, kata pihak berkuasa Myanmar. 

“Kami menahan lapan penyokong bola sepak semalam termasuk dua yang menyerang ke arah padang pada babak kedua,” kata Timbalan Kolonel Polis Pusat, Min Aung.

Keganasan bola sepak di Myanmar adalah biasa. Ogos lalu, peminat memusnahkan padang di stadium baru di Nay Pyi Daw, venue yang akan menjadi gelanggang separuh akhir buat Indonesia.

Pada 2011, Myanmar diharamkan daripada menyertai kelayakan Piala Dunia oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA apabila perlawanan dengan Oman yang berlangsung di negara itu terpaksa dihentikan selepas penyokong tuan rumah membaling botol dan batu ke arah pemain lawan. 

Pengharaman itu bagaimanapun ditarik balik selepas mereka membuat rayuan. 

“Kami meletakkan harapan tinggi ke atas pasukan Myanmar. Kami merancang untuk ke Nay Pyi Daw hari ini untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir,” kata Phone Myint Khaing. 

“Saya sendiri kehilangan kata-kata, amat menyedihkan.” 

Kesalahan terus dilemparkan kepada jurulatih kebangsaan Myanmar dari Korea apabila pasukan tuan rumah gagal mara biarpun mata terikat dengan Indonesia namun pasukan lawan itu memiliki kelebihan jaringan. 

Park Seong-Hwa terus dipecat selepas perlawanan itu dengan laporan media tempatan memetik beliau mengaku tidak tahu akan peraturan pertandingan yang digunakan kerana sebelum ini, pemenang berdasarkan kepada rekod pertemuan dan bukannya perbezaan gol untuk menentukan pasukan yang layak sekiranya mata terikat. - AFP

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets