Wednesday, 18 December 2013

' Kami Mampu Rampas Gelaran '

London: Penyerang Liverpool Luis Suarez percaya pasukannya mampu menjadi pencabar utama Liga Perdana Inggeris jika mereka menang semua perlawanan pada musim sambutan Krismas.
Suarez dinobat Pemain Terbaik Tahun 2013 oleh Persekutuan Penyokong Bola Sepak di Stadium Emirates yang menjadi gelanggang Arsenal, Isnin lalu tetapi bintang Uruguay itu memikirkan anugerah lebih bermakna pada musim ini.



Suarez terlepas enam perlawanan pertama liga akibat digantung enam perlawanan April lalu gara-gara menggigit lengan pemain Chelsea, Branislav Ivanovic.
Namun sejak diturunkan, dia meledak 17 gol dan beraksi hebat ketika membantu Liverpool membelasah Tottenham 5-0 di White Hart Lane, Ahad lalu.

Kelab bimbingan Brendan Rodgers itu kini menduduki tangga kedua dan keyakinan mereka semakin meningkat.

Liverpool hanya dua mata di belakang Arsenal dan akan berdepan Cardiff, Manchester City dan Chelsea sebelum hujung tahun.
Foto
“Jika kami bermain seperti ini untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, pasti kami akan menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik.

“Penting untuk kami menumpukan perhatian kepada perlawanan selepas ini.
“Selepas bertemu Cardiff, kami akan berdepan dua perlawanan besar.

“Ia akan menjadi penanda aras apa yang akan berlaku kepada kami selepas ini,” kata Suarez.

Bintang Uruguay itu menghargai sumbangan penyokong Liverpool yang memberi sokongan tanpa berbelah bagi dan mengaku tidak akan berjaya sampai ke tahap ini jika tidak dibantu penyokong setia pasukan.

“Saya berjaya memenangi semula sokongan peminat dan tidak percaya mereka tetap menyokong saya walaupun pernah digantung.

“Sokongan mereka banyak membantu meningkatkan keyakinan saya dan keluarga manakala anugerah yang diterima ini sangat istimewa kerana ia penghargaan kepada semua aksi saya selama ini.

“Semua orang tahu kesukaran yang saya alami sebelum ini dan sokongan semua pihak membantu saya melupakan semua itu dan menumpukan perhatian terhadap aksi di padang.” Suarez turut bangga apabila diberi tanggungjawab mengetuai Liverpool buat pertama kali, Ahad lalu selepas Steven Gerrard terpaksa direhatkan kerana cedera. Dia turut mencabar semua pemain supaya membuktikan mereka mampu bermain cemerlang walaupun tanpa Gerrard.

“Jika bersatu, kita adalah kapten dan itulah perkara paling penting.” - AFP

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets