Tuesday, 17 December 2013

' Saya Belum Habis Lagi '

Petaling Jaya: “Ada segelintir pihak fikir apabila saya melepaskan jawatan, saya sudah putus asa tapi keputusan itu sebenarnya sebagai permulaan untuk saya lawan habis-habisan,” kata bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa.
Annuar berkata, tanpa sebarang jawatan dalam organisasi bola sepak tidak bermakna beliau sudah tidak berminat menyumbang tenaga dan idea dalam pembangunan bola sepak di peringkat negeri mahupun kebangsaan sebaliknya menganggap status sebagai ‘orang bebas’ memberi lebih ruang kepadanya untuk bergerak aktif.

“Bila ada jawatan, kaki dan tangan seperti terikat dan saya tutup episod sumbangan kepada bola sepak negara dari dalam (FAM) tapi akan teruskan sebagai orang bebas dari luar. “Saya duduk dalam (FAM) tidak boleh bercerita sedangkan banyak perkara perlu diceritakan kepada orang ramai supaya mereka tahu apa yang perlu diperbaiki,” katanya pada majlis pelancaran The Red Warriors The Movie semalam.
Annuar yang masih menjalani hukuman penggantungan 30 bulan kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM membuat keputusan mengejut Jumaat lalu apabila bertindak melepaskan jawatan Timbalan Presiden FAM dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Keputusan Ahli Parlimen Ketereh dan juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai jalan terbaik untuk memastikan kerjasama FAM dan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBSN) tidak terjejas apabila pelantikannya sebagai salah seorang anggota jawatankuasa itu dipertikai.

Jelasnya, ketika berada dalam FAM hingga digantung kerana kesalahan mengkritik prestasi skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal, beliau menerima layanan tidak adil oleh badan induk itu.
Foto
ANNUAR (tiga dari kiri) di majlis pelancaran filem The Red Warriors The Movie.
“Pendakwaan saya tidak mengikut proses sepatutnya, saya diberikan surat tunjuk sebab terlebih dulu tapi FAM terus menetapkan tarikh perbicaraan,” kata Annuar.

“Dalam mesyuarat Exco, FAM sudah membuat keputusan saya dilantik dalam Ahli Jawatankuasa Kewangan kerana memainkan peranan mencari penajaan bersama Stuart Ramalingam (Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Super League) tapi bila sampai satu peringkat nama saya tiada dalam jawatankuasa itu. Bagaimana minit mesyuarat boleh diubah? Sementara itu Annuar yang kini bertindak sebagai penasihat KAFA turut mengumumkan skuad The Red Warriors masih berminat dengan khidmat pemain kelahiran Australia, Brendan Gan yang berpeluang didaftarkan sebagai pemain tempatan pada tempoh perpindahan kedua Mac ini.
Beliau berkata, permohonan Brendan untuk memiliki pasport Malaysia bakal diluluskan namun mungkin mengambil sedikit masa dan tidak sempat untuk didaftarkan sebelum tarikh akhir pendaftaran pemain 17 Disember ini.

“InsyaAllah Brendan akan didaftarkan sebagai pemain tempatan apabila pendaftaran pemain dibuka kali kedua pada Mac. Pada saya tempoh itu cukup untuk beliau mendapat pasport Malaysia kerana dia setuju melepaskan pasport Australia,” katanya.

Hmetro.com.my
Welcome to my blog
go to my homepage
Go to homepage
Back To TopBlogger Widgets