Agadir (Maghribi): Jurulatih Bayern Munich Pep Guardiola tidak memandang mudah saingan yang bakal dihadapi ketika pasukan juara Eropah dikendalikannya itu menghadapi tentangan kelab China, Guangzhou Evergrande pada separuh akhir Piala Kelab Dunia, hari ini.
Guardiola yang menikmati karier kejurulatihan penuh gemilang dan menjadi satu-satunya pengurus pernah menjulang kejuaraan itu dua kali bersama Barcelona pada 2009 dan 2011.
Biarpun skuadnya hadir sebagai pilihan utama, pengendali itu tidak memandang mudah cabaran yang perlu dihadapi.
“Pertandingan ini sangat penting dan berprestij. Bukan mudah untuk layak atau memenanginya” katanya.
“Hanya dua perlawanan, separuh akhir dan final, kita perlu memenanginya.
“Anda tidak akan mendapat peluang kerap dalam kejohanan ini dan saya mahu melahirkan rasa terima kasih kepada pasukan dan jurulatih sebelum ini, Juup Heynckes kerana disebabkan mereka saya berada di sini.” Meskipun muncul juara Liga Juara-Juara dua kali, juara tiga kali gelaran liga Sepanyol dan mencatat dua kejayaan Piala Sepanyol. Guardiola tidak akan menjadi senior di tepi padang pada kejohanan itu.
Pencabarnya adalah pengurus yang pernah menjulang Piala Dunia 2006, Marcello Lippi yang kembali berada di China tahun lalu selepas berehat dua tahun berikutan kegagalan mengendali Azzurri bagi kali kedua-berturut-turut.
Dalam semua kejuaraan pernah dimenangi Guardiola, rekodnya masih belum dapat menandingi Lippi yang mengendali Juventus memenangi Liga Juara-Juara 1996 dan lima gelaran Serie A sebelum mencipta kejayaan menjuarai liga dan kejayaan berganda bersama Guangzhou pada musim pertama serta juara liga dan pemenang berganda Liga Juara-Juara Asia 2013.
Lippi turut melahirkan rasa kagum terhadap perkembangan karier jurulatih muda itu.
“Guardiola seorang yang pintar dan berkemampuan. Kami dapat melihat apa yang dilakukannya bersama Barcelona dan Bayern, dia bertukar pasukan tetapi masih mencatat kemenangan,” kata pengendali berusia 65 tahun itu.
“Dia membawa bersamanya falsafah permainan secara perlahan-lahan tetapi pasti.” - AFP
Hmetro.com.my