Manchester: Walaupun berjaya membelasah pendahulu Liga Perdana dalam aksi di Stadium Etihad, pengurus Manchester City Manuel Pellegrini percaya mereka perlu meningkatkan gaya permainan untuk memantapkan skuad yang dibarisi ramai pemain berbakat itu.
Pengendali dari Chile itu yang menyaksikan anak buahnya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengalahkan Bayern Munich 3-2 di gelanggang lawan pada aksi Liga Juara-Juara Rabu lalu, sekali lagi meraikan kegembiraan apabila mereka menumpaskan Arsenal 6-3 untuk merapatkan jurang dua mata dengan kelab London itu di tangga teratas liga.
Kemenangan besar itu membolehkan City mengumpul 47 gol dalam 16 perlawanan liga dengan 35 gol daripada jumlah keseluruhan itu diperoleh menerusi lapan perlawanan di gelanggang sendiri musim ini.
Mereka membelasah Norwich City 7-0, Tottenham Hotspur 6-0, musuh tradisi Manchester United 4-1 sebelum memalukan Arsenal yang memiliki rekod pertahanan terbaik liga sebelum perlawanan itu untuk merapatkan kedudukan dengan skuad kendalian Arsene Wenger.
Pada aksi Sabtu lalu, Yaya Toure dan Fernandinho mendominasi bahagian tengah untuk membolehkan David Silva dan Samir Nasri mencipta peluang kepada gandingan penyerang berbisa Sergio Aguero dan Alvaro Negredo.
Pablo Zabaleta turut menjana serangan di bahagian kanan manakala kemasukan pemain gantian di bahagian sayap Jesus Navas membuktikan betapa Pellegrini mempunyai skuad yang mantap. - Reuters
Hmetro.com.my