Manchester, (United Kingdom): Pengurus Manchester City Manuel Pellegrini menyatakan Fernandinho yang menjadi wira dengan ledakan dua gol mempamerkan permainan terbaik ketika pasukannya membelasah pendahulu Liga Perdana Arsenal 6-3 kelmarin.
City meneruskan rekod kemenangan besar di Etihad Stadium dengan jumlah 35 gol keseluruhan dalam lapan perlawanan di laman sendiri.
Ketika penyerang Argentina Sergio Aguero yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan betis pada awal babak kedua dan Alvaro Negredo mendapat banyak pujian musim ini, Fernandinho yang dibeli dari kelab Ukraine Shakhtar Donetsk pada Jun lalu dengan harga £30 juta (RM158 juta) pula kurang mendapat perhatian apabila hanya 13 kali diturunkan dalam kesebelasan utama skuad juara 2011-2012 itu.
Pemain Brazil itu memberikan aksi terbaik untuk menjaringkan gol pertama peribadinya menerusi sepakan lencong dalam kempen liga untuk City. Dia kemudian bijak melambungkan bola mengatasi penjaga gol Arsenal Wojciech Szczesny hasil serangan balas pantas membabitkan Samir Nasri.
“Saya sangat gembira dengan aksi Fernandinho tapi anda akan lihat sejauh mana kehebatannya sepanjang musim ini, dia akan terus meningkat setiap minggu.” - Reuters
Hmetro.com.my