Berlin: Bayern Munich berlepas ke Maghribi semalam dalam misi untuk memburu kejuaraan Piala Dunia Kelab dengan jurulatih Pep Guardiola mahu skuad juara Eropah itu mempamerkan peningkatan biarpun gergasi Bavaria itu berjaya meneruskan rentak cemerlang Bundesliga.
Kemenangan 3-1 ke atas Hamburg di Allianz Arena, Munich membolehkan anak buah Guardiola itu mencatat rekod baru 93 mata tahun ini dan kekal tanpa kalah dalam saingan liga 2013.
Bayern bangkit daripada kekalahan 3-2 di tangan Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara di gelanggang sendiri sebelum itu untuk meraih kemenangan menerusi gol Mario Mandzukic dan Mario Goetze sebelum pemain sayap Switzerland Xherdan Shaqiri menambah gol ketiga pada masa tambahan.
Bagaimanapun Guardiola menegaskan skuad juara Eropah itu masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Mungkin pemain-pemain sudah mula memikirkan cuti dan Maghribi,” kata Guardiola.
Empat jam selepas wisel penamat dibunyikan dalam aksi menentang Hamburg, Bayern terus menaiki pesawat meninggalkan Munich dengan Guardiola mula mencongak gelaran Piala Dunia Kelab untuk kali ketiga selepas menjulang trofi itu bersama Barcelona pada 2009 dan 2011.
Juara Asia dari China, Guangzhou Evergrande akan menentang Bayern pada separuh akhir Khamis ini di Agadir selepas menewaskan kelab Mesir Al Ahly 2-0 pada pertembungan suku akhir Sabtu lalu.
Tiada wakil dari Jerman pernah memenangi gelaran itu bagaimanapun dengan status mereka sebagai kelab Bundesliga pertama meraih tiga kejuaraan iaitu liga, Piala Liga dan Eropah musim lalu, Bayern mahu menambah satu lagi kejuaraan bagi koleksi trofi 2013.
Selain tiga kejuaraan itu, Bayern turut menjulang Piala Super Uefa pada Ogos lalu di Prague apabila pemenang Liga Juara-Juara itu mengalahkan juara Liga Europa Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.
Kelab Brazil Corinthians dan gergasi dunia Barcelona masing-masing memenangi dua kali kejuaraan manakala kelab Brazil muncul juara empat kali daripada sembilan edisi Piala Dunia Kelab.
Guardiola membawa 23 pemain ke Maghribi dengan mengetepikan pemain bintang Arjen Robben, Holger Badstuber dan Bastian Schweinsteiger kerana mengalami kecederaan.
Pasukan tempatan Raja Casablanca akan berdepan wakil Brazil Atletico Mineiro Rabu ini dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Perlawanan akhir akan diadakan di Marrakech Sabtu depan. - AFP
Hmetro.com.my